Mengikut Harman, iaitu syarikat pengeluar peralatan audio dan video terkenal, mereka mampu untuk memberi pengalaman audio yang paling unik untuk pemandu serta kesemua penumpang yang selama ini mendengar audio yang sama untuk semua orang.

Teknologi ‘Individual Sound Zones’ (ISZ) ataupun Zon Bunyi Individu dihasilkan untuk menepati citarasa dan kehendak setiap individu di dalam kenderaan yang sama.

Contohnya, pelbagai peranti dan ciri-ciri yang membantu pemanduan telah merubah keadaan di dalam kabin, ini termasuk penyambungan Bluetooth dan arahan daripada sistem navigasi. Begitu juga dengan panggilan telefon dan video; dan kesemua ini boleh boleh menjadikan kabin kenderaan bercelaru dengan pelbagai sumber audio yang mungkin tidak perlu didengari penumpang lain.

Dengan ISZ, Harman mendakwa bahawa setiap penumpang hanya perlu mendengar audio yang mereka perlukan, atau benarkan.

Rekaan akustik inovatif dan pemprosesan isyarat digital diadun untuk memaksimakan kemampuan pembesar suara dan meminimakan persilangan diantara gelombang audio zon-zon berbeza di dalam kenderaan.

Yang memudahkan penghasilan zon-zon audio individu ini adalah penggunaan pembesar suara kenderaan sedia ada serta teknologi ‘mikro speaker’ yang dipasang di dalam ‘headrest’ kerusi. Di samping itu, terdapat juga pembesar suara ‘Electro Dynamic Planar’yang nipis dan leper serta dipasang di dalam bumbung kenderaan.

Output daripada semua pembesar suara ini akan ‘wujud’ hanya disekitar zon yang ditentukan dengan bantuan pemprosesan isyarat digital yang khas dibuat untuk kabin kenderaan tersebut. Audio ini tidak kita sama ada muzik, suara ataupun apa-apa bunyi lain. Setiap penumpang boleh mengawal zon audio mereka tersendiri.

Namun begitu, semua penumpang sudah tentu dapat mendengar bunyi-bunyi lain di dalam kabin, namun pada tahap di mana ia tidak menggangu audio utama di dalam zon tersebut.

Antara manfaat ISZ adalah pemandu sendiri dapat mendengar audio yang diperlukan seperti arahan sistem navigasi ataupun amaran sistem kereta, sementara penumpang-penumpang lain masing-masing dapat memilih antara mendengar muzik ataupun audio daripada filem di skrin. Penumpang juga dapat mendengarnya pada kekuatan audio yang berbeza antara satu sama lain.

Teknologi ini sudahpun boleh digunakan oleh pihak pengeluar kereta jika mereka memilih untuk menggunakannya. Tetapi, buat masa ini teknologi Individual Sound Zones ini hanya boleh dipadankan dengan mana-mana sistem audio – melalui amplifier – buatan Harman.

* Harman adalah syarikat yang menghasilkan rekaan, mengilangkan dan memasarkan pelbagai jenama audio ternama bagi pasaran automotif, profesional dan pengguna biasa. Antara jenama di bawah mereka adalah AKG, Harman Kardon, Infinity, Lexicon, JBL dan Mark Levinson.