KUALA LUMPUR:Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menasihatkan Zoo Negara supaya menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sejak Januari hingga September lalu, Zoo Negara berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM10.6 juta daripada pelbagai pihak dalam bentuk kewangan dan makanan haiwan.

“Jumlah ini sepatutnnya adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan makanan haiwan berdasarkan rekod perbelanjaan Zoo Negara.

“Oleh itu, Zoo Negara hendaklah menguruskan sumbangan yang diterima secara telus dan berhemah.

BACA: Zoo Negara mohon dibenarkan beroperasi ketika PKPB

BACA: Ayuh bantu selamatkan haiwan di Zoo Negara


“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga tidak pernah ketinggalan dalam membantu Zoo Negara walaupun ia dimiliki oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan beroperasi sebagai entiti perniagaan.

"Zoo Negara diberikan permit pengendalian zoo secara tahunan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada Zoo Negara sejak awal penubuhan ikon riadah negara itu lagi dan bukan hanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau lagi, kerajaan turut menyediakan peruntukan lebih RM50 juta bagi pelbagai projek menaik taraf Zoo Negara sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK7), setakat ini.


“Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan kepada Zoo Negara pada 10 April 2020 untuk menampung keperluan bekalan makanan hidupan liar, pengurusan husbandry  (penternakan) dan ubat-ubatan.

“Diskaun 15 peratus bil elektrik secara bulanan selama enam bulan juga telah diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0),” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan di Zoo Negara yang berhadapan dengan krisis kewangan berikutan PKP.

Dalam pada itu, beliau berkata satu perbincangan mengenai pengukuhan operasi Zoo Negara akan diadakan esok membabitkan wakil kementeriannya dan pusat konservasi haiwan itu.