Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung memberi kebenaran kepada taska untuk beroperasi di tingkat melebihi paras lima sesebuah bangunan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana pengoperasian taska di bangunan yang tinggi memerlukan peralatan tertentu sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kebakaran atau sebagainya.

Namun begitu katanya, beliau masih perlu meneliti beberapa perkara termasuk syarat-syarat yang membenarkan tempat-tempat seumpamanya dikecualikan.

"Selepas ini, insya-Allah, saya akan bincang dengan pegawai bomba untuk meneliti supaya boleh membuat sedikit kelonggaran untuk membantu taska-taska ini,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Hannah Yeoh (DAP-Segambut) mengenai kebenaran kementerian untuk taska beroperasi di bangunan tinggi bagi menjimatkan kos pengurusan selari dengan usaha menambah bilangan taska di tempat kerajaan.