Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihak berkuasa akan menggunakan khidmat dan aset syarikat swasta yang mempunyai kepakaran bawah laut untuk mencari pesawat MH370.

Antara syarikat tempatan yang akan terlibat ialah DRB- Hicom Defence Technologies (Deftech) dan Boustead.

“Kita akan menambah aset (operasi SAR) dengan kerjasama pihak swasta seperi Deftech dan Boustead. Mereka akan berbincang dengan rakan usahasama antarabangsa mereka seperti SAAB, DCNS dan lain-lain untuk mengenal pasti aset yang diperlukan,” kata Hishammuddin dalam sidang media hari ini.

Buat masa ini, penggunaan kenderaan dalam air automatik (AUV) Bluefin-21 dalam usaha mencari MH370 di dasar Lautan Hindi masih belum membuahkan hasil.

Bluefin-21 telah mengimbas kira-kira 133 kilometer persegi dasar lautan berhampiran kawasan-kawasan di mana isyarat 'ping' dikesan.

Sejak dikerahkan untuk operasi pada hari Isnin, Bluefin-21 telah menyelesaikan enam misi dan menasuki misi ketujuh hari ini.

“Bluefin-21 berjaya merakamkan imej dasar laut yang jelas semasa menjalankan misinya tetapi masih belum menjumpai apa-apa yang penting,”

Misi ke-tujuh bermula pagi tadi dan operasi mencari di kawasan-kawasan yang sudah ditentukan pihak berkuasa dijangka selesai minggu depan.

Jika masih tiada penemuan, Hishammuddin berkata pasukan SAR akan berkumpul dan mempertimbangkan operasinya semula, termasuk data daripada satelit dan Inmarsat.

“Operasi ini memerlukan kerjasama daripada pihak komersil juga, terutamanya syarikat gas dan minyak yang mempunyai pelantar dan kepakaran laut dalam. Dalam masa beberapa hari ini, kami telah menghubungi syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai usahasama dengan syarikat antarabangsa yang mempunyai kepakaran tersebut.”

“ Ini untuk memastikan aset yang diperlukan sudah tersedia apabila operasi SAR ini memasuki fasa berbeza,” kata Hishammuddin.