MairaMaira kelihatan menitiskan air mata ketika sesi wawancara bersamanya menerusi Skype pada Ahad

KUALA LUMPUR: Tiada lain yang Maira Elizabeth Nari inginkan, hanya kepulangan bapanya ke pangkuan keluarga, atau setidak-tidaknya khabar berita tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Kepulangan Andrew Nari iaitu ketua pramugara bagi penerbangan MH370 terus dinantikan.

Itulah doa yang sentiasa dipinta Maira kepada tuhan hari demi hari.

Dalam satu temubual menerusi laman media sosial Skype pada Ahad, pelajar jurusan Komunikasi Massa itu meluahkan harapan dan impiannya.

Bertemankan ibu dan ahli keluarga, itulah penyumbang semangat kepada Maira dalam menghadapi dugaan yang amat besar ini.

Cukup 100 hari sejak kehilangan pesawat MH370, ia ditambah pula dengan sambutan Hari Bapa, ini sudah tentu membuat Maira terasa akan kehilangan bapanya.


“Saya berdoa supaya dia pulang ke pangkuan keluarga. Saya berdoa Tuhan beri petunjuk. Kalau dia masih hidup, saya doa dia tabah menghadapi semua ini. Jangan sesekali berputus asa kerana dia ada keluarga yang memerlukan dia.

Saya juga berdoa supaya Tuhan memberikan kekuatan kepada ibu saya kerana dia amat sensitif dengan situasi ini, Emosinya juga tidak stabil,” kata Maira sambil menahan sebak.

Maira memberitahu dia tidak pernah ketinggalan pergi ke gereja pada setiap hari Ahad bagi mendoakan kepulangan ayahnya agar mereka kembali menjadi sebuah keluarga seperti sedia kala.

“Perkara pertama saya mahukan adalah supaya dia pulang semula. Saya mahu kami menjadi seperti keluarga lain keluarga makan bersama-sama. Saya nak dia pulang, itu sahaja,” ujar Maira sambil mengelap air matanya.

Andrew Nari mempunyai impian, iaitu menyiapkan pengubahsuaian kereta vintaj atau lama yang dimilikinya.

Namun atas beberapa faktor, hasrat itu terbantut dan yang paling ketara apabila dia tidak pulang sehingga ke hari ini.

Bagi merealisasikan impian bapanya, anak gadis Andrew Nari itu bertekad mengumpul wang bagi mengubah suai kereta tersebut.

“Sudah tentu saya akan teruskan kerana itu apa yang dia mahu. Memang ayah hendak baiki kereta itu, cuma, pada waktu itu tidak cukup duit. Jadi sekarang saya akan terus kumpul duit. Tetapi setakat ini yang dapat dikumpul tidak lebih daripada RM5,000,” tambah Maira.

Inisiatif Maira ini turut dibantu rakan bapanya yang kini sedang mengumpul duit bagi menyelesaikan pengubahsuaian kereta tersebut.

Apabila ditanya mengenai apakah medium atau bahan bagi dia dan keluarga mendapatkan maklumat berhubung insiden MH370 ini, Maira memberitahu mereka bergantung kepada berita di televisyen dan juga portal.

“Apa yang orang ramai tahu sebenarnya sama dengan apa yang kami tahu. Kami juga tidak dapat banyak maklumat,” katanya.

Berkongsi cerita, Maira memberitahu keluarganya turut menyertai perjumpaan bersama keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang lain.

Ujarnya, mereka sentiasa berkongsi kesedihan dan kegembiraan bersama-sama dan perjumpaan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan yang ditanggung mereka.