Seramai 27 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari ranting Parit 4A di Kampung Sungai Manik Lama Kanan di sini keluar dari parti itu untuk menyertai Umno.

Wakil kumpulan itu, Mohd Tarmizi Abu Bakar menyerahkan borang keanggotaan menyertai Umno kepada Ketua Umno bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam satu majlis malam tadi.

Mohd Tarmizi berkata mereka menyertai PKR selama tiga tahun dan mengambil keputusan keluar dari parti itu kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

"Kami keluar parti atas kerelaan kami sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak dan kami yakin parti Umno sahaja yang boleh membela nasib orang Melayu," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini seramai 402 anggota PKR dari kawasan berkenaan keluar dan menyertai Umno.

Sementara itu Tajuddin berkata ramai lagi anggota PKR dijangka menyertai Umno dalam tempoh terdekat yang sekaligus membuktikan sokongan kepada PKR di Pasir Salak semakin merosot.