Barisan Nasional (BN) Sarawak akur dengan keputusan Perdana Menteri dan Pengerusi BN pusat Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung senarai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata senarai calon empat parti komponen BN Sarawak yang telah diserahkan dipertimbangkan daripada semua aspek bagi memastikan mempunyai peluang terbaik untuk menang.

"Kami serahkan kepada perdana menteri membuat keputusan muktamad dan akan akur dengannya," kata Rundi kepada Bernama apabila diminta mengulas pertemuan antara Najib dengan beberapa pengerusi BN dan jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, termasuk Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Putrajaya Jumaat.

Rundi, yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata sokongan 100 peratus perlu diberi setiap anggota parti gabungan BN negeri tanpa berbelah-bahagi untuk memastikan kemenangan BN di semua 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada senarai calon yang sedang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan BN itu akan juga mengambil kira pertukaran di saat-saat akhir di kawasan tertentu membabitkan penyandang yang dikatakan semakin kurang popular di kalangan pengundi.

Berikutan pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan pada 2011, 31 kawasan Parlimen yang dipertaruhkan akan menyaksikan PBB bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (empat).

Pada pilihan raya Parlimen 2008, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi tetapi hilang satu lagi kerusi kepada parti pembangkang DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010.

Sementara itu, Rundi, yang mempengerusikan mesyuarat parti komponen BN negeri dan setiausaha politik Ketua Menteri di ibu pejabat PBB di Kuching, Jumaat, berkata mesyuarat itu ialah bagi memperhalusi strategi dan kelancaran persiapan menghadapi pilihan raya.

Dalam memperkemas jentera pilihan raya, Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu berkata pihak PBB bertanggungjawab membantu tiga lagi parti komponen BN negeri dalam membuat persiapan pilihan raya.

Dalam menggerakkan jentera pilihan raya itu, beliau berkata BN negeri tidak boleh alpa dalam menghadapi pembangkang.