Kenyataan bekas Panglima Angkatan Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang dirinya bagai 'kera' terlepas daripada kongkongan selepas bersara, amat tidak wajar dan menguris perasaan lebih sejuta penjawat awam di seluruh negara.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor berkata beliau hairan bagaimana kenyataan seumpama itu boleh keluar daripada seorang yang pernah berkhidmat dengan kerajaan lebih 30 tahun.

"Kera tak kera pun sampai empat bintang dia dapat dan mengetuai Angkatan Tentera Darat. Lepas itu, dia dilantik menjadi duta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rahim berkata walaupun mungkin terdesak dalam soal berpolitik, kenyataan seumpama itu tidak seharusnya keluar daripada calon PKR bagi kerusi Parlimen Johor Bahru itu dan menurutnya Md Hashim tidak sedar bahawa anak dan menantunya masih bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

"Kalau macam itu, ada dua orang 'kera' dalam keluarganya yang masih bekerja dengan kerajaan dan saya juga yang pernah menjadi kakitangan awam 'kera' lah juga," katanya yang jelas kesal dengan kenyataan itu.

Rakaman video Md Hashim yang dipercayai mengeluarkan kenyataan itu semasa kempen pilihan raya beliau di sini dimuat naik ke YouTube dengan tajuk 'Semua Penjawat Awam Memang KERA' oleh pemilik akaun bernama mykmujohor.

Dalam video sepanjang 39 saat itu, beliau berkata kakitangan kerajaan (penjawat awam) merupakan singkatan kepada 'kera dalam jagaan' dan mereka seperti beliau sendiri apabila dilepaskan mula mengamuk dan merusuh.

Md Hashim berhadapan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahrir Abdul Samad pada pilihan raya umum, 5 Mei ini.