Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit pada 3.30 petang ini.

Pada masa sama , barisan exco kerajaan negeri juga akan ditubuhkan dalam masa seminggu.

Mukhriz berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk meletakkan adun yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab bagi portfolio masing-masing.

Mukhriz Mahathir, diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Menteri Besar jika BN kembali berkuasa di Kedah, menang di kerusi DUN Ayer Hitam.

Mukhriz menewaskan penyandang kerusi itu, Abd Ghani Ahmad, dengan majoriti 2,446 undi. Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 3 petang hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Kedah apabila mendapat majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

BN menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS (9), DAP (2), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (4). Bagi Parlimen, BN memperoleh 10 daripada 15 kerusi manakala PKR (4) dan PAS (1).

Bagaimanapun, BN tewas mengejut di kerusi Parlimen Alor Setar apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung tewas kepada calon PKR Gooi Hsiao-Leung dengan majoriti 1,873 undi.

Selain Chor, pemimpin utama BN yang lain menang di kerusi masing-masing.

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mempertahan kerusi DUN Bakar Bata yang disandang sejak 1995.

Berdepan pertandingan tiga penjuru, beliau menang dengan majoriti 895 undi mengatasi Mohd Eekmal Ahmad (PKR) dan Jawahar Raja Abdul Wahid daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang bertanding buat pertama kali di Parlimen Jerai, berjaya merampas kembali kerusi itu daripada PAS.

Beliau menewaskan penyandang kerusi itu, Mohd Firdaus Jaafar, dengan majoriti 1,196 undi.

PRU kali ini menyaksikan kekalahan teruk PAS, yang menyaksikan mereka hilang kuasa ke atas kerajaan negeri manakala Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang diharap menang di kubu kuat parti itu di Parlimen Pendang, tewas kepada calon BN Datuk Othman Abdul.

Othman menang dengan majoriti 2,638 undi untuk menghadiahkan hatrik kalah pada PRU kepada Mohamad, yang tewas di Kuala Kedah pada 2004 dan Kuala Terengganu pada 2008.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menang di DUN Sungai Limau yang diwakili sejak 1995, menewaskan sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mempertahan kerusi Parlimen Pokok Sena selepas menewaskan Datuk Shahlan Ismail dengan majoriti 3,935 undi.

Di kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tewas kepada calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 1,871 undi.