Kerajaan akan memastikan kemajuan negara bergerak seiring peningkatan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha itu disifatkan bukan retorik malahan sudah dibukti selama ini.

''Tahap kesenangan rakyat menjadi salah satu kriteria dalam menentukan prestasi sesebuah kerajaan yang cemerlang.

''Kerajaan tahu tahap kebahagiaan rakyat merupakan satu kriteria dalam menentukan kemajuan negara,kerana itu kita tidak pernah mengabaikannya,'' katanya semasa berucap ketika melakukan lawatan kerja ke Terminal Sentral Kuantan.

Turut hadir,Menteri Besar,Datuk Seri Adnan Yaakob dan calon-calon Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuantan dan Indera Mahkota.

Terminal dua tingkat yang akan dibuka secara rasmi Jun ini dilengkapi kemudahan canggih termasuk tempat menunggu berhawa dingin.

Ia terletak bersebelahan Wisma Belia,Bandar Indera Mahkota.

Pada majlis sama,Najib turut mengumumkan perlanjutan perjalanan percuma bas RapidKuantan sehingga akhir Mei.

Najib kemudian menyambung lawatan kerja ke projek tebatan banjir di Kampung Sungai Isap.

Projek bernilai RM78 juta itu bakal menyelesaikan masalah banjir di sekitar bandar Kuantan.