Sejak musim pilihan raya umum (PRU) bermula, beberapa kes keganasan politik telah dilaporkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mengumumkan sejumlah 1,056 kes keganasan politik telah direkodkan sejak pembubaran parlimen pada 3 April lepas dengan 387 kes direkodkan sejak hari penamaan calon.

Kebanyakkan kes dilaporkan selepas hari penamaan calon. Antara kes-kes keganasan politik yang dianggap genting adalah:

Nibong Tebal, 23 April: Satu letupan telah berlaku ketika sebuah majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung di pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Seorang petugas keselamatan dilaporkan cedera di kaki kanan akibat terkena letupan yang berpunca dengan bahan ‘IED’ tersebut.

Kejadian yang berlaku pada 10.15 malam itu dipercayai dilakukan untuk menakutkan orang ramai dan angkara sabotaj pihak yang tidak bertanggungjawab.

Seri Kembangan, 23 April: Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Cawangan Lestari Putra (LEP) 5,Serdang telah menjadi mangsa khianat sejak tiga minggu yang lalu.

Tiang kayu bendera dipatah dan dibakar manakala dinding bilik gerakan yang menggunakan kain rentang dijatuhkan.

Insiden khianat itu berulang kali kedua apabila duri pokok pula dikesan ditabur depan bilik gerakan yang dibuka setiap hari sekitar jam 9 malam hingga 2 pagi.

Semabok, 23 April: Bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Duyong di Semabok, Melaka pula dipecah masuk pada waktu malam.

Kejadian itu disedari seorang petugas yang datang ke bilik gerakan itu kira-kira pukul 9.30 pagi pada keesokan hari.

Pihak berkenaan yakin terdapat unsur-unsur sabotaj yang mungkin bermotifkan politik kerana barangan hilang seperti komputer mempunyai banyak data penting, sedangkan barangan berharga lain seperti pencetak tidak diambil.

Turut hilang sebuah televisyen yang disewa dan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,500. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kandang.

Klang, 25 April: Dua kereta milik anak perempuan calon PKR Dr Xavier Jayakumar terbakar apabila sekumpulan lelaki membaling bekas berisi minyak tanah di pintu masuk kediamannya di Klang Jaya, Klang.

Kejadian itu dipercayai sebagai satu lagi insiden bermotifkan politik.

Kejadian berlaku pada jam 11 malam apabila ejen pilihan raya Sangetha Jeyakumar, 30, berada bersama bapanya di pusat khidmat Pakatan Rakyat untuk bermesyuarat selepas satu sesi ceramah.

Jiran mereka berkata, dua orang lelaki, seorang bersenjatakan parang, dalam sebuah kereta Kia Sephia berwarna perak, turun dari kereta itu dan memanjat pintu pagar rumah tersebut untuk masuk ke halamannya.

Suspek kemudian memecahkan tingkap belakang kereta yang diletakkan di anjung depan sebelum mencurahnya dengan minyak tanah dan membakarnya.

Kota Bharu, 23 April: Seorang wartawan sambilan RTM berumur 61 tahun meninggal dunia dipercayai selepas diserang penyokong sebuah parti politik di hadapan rumahnya di Bandar Lama Gua Musang kira-kira pukul 1.15 pagi.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas mangsa membunyikan hon kereta kerana tidak berpuas hati laluan masuk ke rumahnya dihalang oleh seorang penyokong parti berkenaan.

Menurut sumber, seorang lelaki yang berada di pejabat parti Gua Musang itu telah datang ke arah mangsa dan berlaku pertengkaran.

Pantai Dalam, 1 April : Satu siri keganasan politik berlaku di Lembah Pantai apabila petugas pilihan raya PKR Parlimen diugut sekumpulan samseng dan khemah mereka diceroboh serta dimusnahkan.

Samseng-samseng yang terlibat tersebut datang semula ke kawasan khemah berkenaan keesokan hari bersama enam lagi rakan dengan empat motosikal,turut diiringi sekumpulan samseng yang menaiki dua kereta dan sebuah teksi.

Mereka telah mencabut bendera, rampas risalah, patahkan kaki khemah dan maki hamun petugas-petugas dengan kata-kata kesat. Turut merampas sebuah Samsung Galaxy Note milik seorang petugas.

• Bangsar, 1 April: Salah satu bilik operasi PKR di kawasan Jalan Kurau dipecah masuk. Barang-barang seperti kayu bendera dicuri dan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM20,000.