KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh dihukum dalam sebarang bentuk atau liabiliti secara bersama, jika pelaku kesalahan buli diputuskan bersalah oleh Tribunal Bagi Antibuli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini bagi memastikan keluarga pelaku kes buli turut memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku moral dilakukan anak mereka.
Jelas Azalina, ia selari dengan ketetapan yang terkandung dalam Akta Antibuli 2026 (Akta 876).
"Akta 876 menampilkan kelainan berbanding kes jenayah biasa yang meletakkan tanggungjawab hukuman dan liabiliti ke atas pelaku sahaja. Akta ini meletakkan klausa tanggungjawab (terhadap ibu bapa pelaku) bagi isu terbabit dengan pembayaran denda dan sebagainya turut mengikat ahli keluarga pembuli.
"Kita memindahkan liabiliti menjadikan joint liability (liabiliti bersama) kepada keluarga pelaku," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Tribunal Bagi Antibuli, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman dan Presiden Tribunal Bagi Antibuli, Nurul Husna Awang.
Kerajaan pada Selasa melancarkan Tribunal Antibuli 2026 serentak dengan penguatkuasaan rasmi Akta 876 bagi memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.
Pelaksanaan akta tersebut berjaya direalisasikan dalam tempoh kurang setahun selepas diluluskan Parlimen pada Oktober tahun lalu.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut melancarkan portal rasmi Tribunal Bagi Antibuli untuk membolehkan orang ramai melaporkan sebarang kes buli.
Menurut beliau, keperluan kepada undang-undang khusus itu semakin mendesak susulan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah, selain memberi kesan serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi mangsa.
“Lebih 14,000 kes buli telah direkodkan. Dengan adanya tribunal ini, portal aduan dalam talian serta kemudahan prosiding yang disediakan, ia memberi mesej jelas kepada anak-anak bahawa buli bukan perkara remeh dan tindakan boleh diambil melalui saluran yang betul.
“Sekolah dan institusi pendidikan kekal sebagai barisan hadapan dalam menangani isu buli, manakala tribunal berfungsi sebagai saluran penyelesaian sekiranya aduan tidak dapat diselesaikan dengan sewajarnya di peringkat institusi,” katanya.
Azalina berkata, selain boleh mengeluarkan perintah pampasan atau permohonan maaf, tribunal juga mempunyai kuasa mengarahkan pelaku mengikuti program pemulihan bagi memutuskan kitaran buli dan mengelakkan kejadian berulang.
Tambahnya, buat masa ini Akta Antibuli 2026 terpakai kepada individu berumur 18 tahun ke bawah, namun kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop pelaksanaannya pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Nurul Husna semasa sesi Taklimat Pengenalan berkata, Seksyen 43 Akta 876 memperuntukkan pampasan maksimum RM250,000 kepada mangsa kes buli.
"Pelaku juga tertakluk kepada jenis perintah lain sama ada permohonan maaf, hapus kandungan siber, bayar perbelanjaan munasabah, pampasan atau ganti rugi serta menghadiri sesi kaunseling.
"Prosiding tribunal juga dijalankan secara tertutup, sama ada secara fizikal, dalam talian atau hibrid dengan keseluruhan prosesnya mesra kanak-kanak," katanya.
Ibu pejabat tribunal akan beroperasi di Kuala Lumpur, namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara termasuk di sekolah, pejabat agensi berkaitan dan secara dalam talian bagi memudahkan akses kepada mangsa serta keluarga.