Ibu pejabat Umno mengesan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu menggunakan nombor telefon beberapa pemimpin parti kepada anggotanya, kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Mula disebarkan sejak tiga hari lepas, beliau berkata SMS palsu itu mengandungi arahan mengelirukan yang tidak pernah dikeluarkan pemimpin mahupun ibu pejabat Umno.

Menurutnya, ia mungkin menggunakan teknologi pintasan melibatkan nombor telefon Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat Umno di sini hari ini, Ab Rauf berkata: "Saya ingin maklumkan kepada anggota parti bahawa tiada SMS berbentuk arahan seperti menutup bilik gerakan dikeluarkan mana-mana pemimpin atau ibu pejabat Umno."

Beliau berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu mungkin dirancang pihak tertentu untuk mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan jentera Umno menjelang pilihan raya umum ke-13, Ahad ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan nombor telefon Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga disalah guna pihak tertentu untuk menghantar SMS palsu.

Sambil meminta jentera parti atau orang ramai yang menerima SMS sedemikian supaya segera memaklumkannya kepada ibu pejabat Umno, Ab Rauf berkata Umno akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Umno turut mengesan beberapa poster, risalah dan banting yang memainkan sentimen agama dan kaum yang melampau menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), digantung di negeri-negeri tertentu.

Menegaskan Umno tidak pernah mengedarkan bahan kempen seumpama itu, beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya menurunkan bahan kempen bekenaan.

"Umno berharap rakyat bertindak bijak dan berhati-hati supaya tidak tertipu dengan mainan politik sesetengah pihak," tegasnya.