Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyediakan satu juta rumah mampu milik dalam masa lima tahun dan beberapa pendekatan lain diterima baik oleh pakar ekonomi.

Penganalisis ekonomi percaya strategi perumahan jika dilaksanakan dengan betul mampu memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Strategi tersebut dapat meringankan beban, tambahan pula dalam keadaan rumah yang semakin mahal sejak beberapa tahun lalu.

Menerusi akujanji BN, Najib juga bakal membangunkan semula projek perumahan yang terbengkalai.

"Projek perumahan terbengkalai amat menyakitkan pembeli yang terpaksa menanggung kerugian masa dan wang ringgit. Isu tersebut tidak harus dipinggirkan, jadi ianya satu pendekatan yang baik jika kerajaan mahu menyelesaikannya," menurut Dekan Perancangan dan Bangunan Profesor Dr Mahyudin Ramli melalui sebuah akhbar harian hari ini.

Walaubagaimanapun, penganalisis ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin percaya terdapat beberapa perkara yang perlu ditelusuri agar strategi perumahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Perkara pokok ialah lokasi. Satu perkara yang bagus jika rumah ditawarkan dengan harga yang murah namun ianya bertentangan dengan objektif projek jika kawasan perumahan terletak berjauhan dengan kawasan aktiviti ekonomi.

"Perkara kedua yang perlu dipertimbangkan ialah kemudahan yang disediakan. Satu perkara yang baik jika kawasan perumahan dilengkapi dengan kemudahan seperti jaringan lebuhraya, stesen MRT, perhentian bas, sekolah dan lain-lain," jelas Azrul Azwar.

Dalam manifesto BN yang diumumkan, Najib merancang untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam masa lima tahun.

Daripada satu juta rumah tersebut, separuh daripadanya diperuntukkan untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bhd.

PR1MA ditubuhkan untuk merancang, membangun, membina dan menyenggara perumahan yang mampu dimiliki bagi isi rumah berpendapatan sederhana di kawasan bandar utama (pendapatan isi rumah sebanyak RM2,500 - RM7,500 jika digabungkan). Ini melibatkan harga rumah di antara RM100,000 hingga RM400,000.

Azrul Azwar turut mencadangkan agar kerajaan mungkin mahu membuat pertimbangan memperkemas pelbagai agensi dalam industri perumahan, kerana ini boleh membawa kepada ketidakcekapan.

"Mungkin terdapat pertindihan kerja oleh pegawai dari pelbagai agensi. Sumber-sumber ini pasti boleh digunakan," katanya.

Beliau kemudiannya menerangkan cabaran terbesar dalam projek pembangunan perumahan ialah masalah tanah.

“Masalah tanah selalunya merupakan masalah yang rumit, dan selalunya isu ini merupakan masalah kerajaan negeri dan tidak terlalu melibatkan kerajaan persekutuan.

"Jadi dengan penggabungan tersebut, urus tadbir dapat dilakukan dengan lebih cekap," tambah beliau.