PUTRAJAYA: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan diteruskan dengan pelaksanaan langkah penjimatan sehingga 50 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi global dan keperluan mengoptimumkan perbelanjaan.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri selaku tuan rumah menjangkakan kos penganjuran SUKMA akan dikurangkan hampir separuh daripada anggaran asal RM100 juta kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.
Advertisement
Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, selain mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memastikan temasya sukan dwitahunan itu terus menjadi platform pembangunan atlet negara.
“Alhamdulillah, hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026
hari ini (Khamis), kita mencapai kata putus untuk meneruskan penganjuran SUKMA 2026 dengan mengambil kira beberapa indikator penting.
“Antaranya adalah had umur atlet, selain kepentingan SUKMA sebagai medan persiapan ke temasya lebih besar termasuk Sukan SEA 2027,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tersebut, di sini, pada Khamis.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Mohd Najwan menjelaskan, langkah penjimatan itu melibatkan pengurangan acara bersifat istiadat seperti majlis pembukaan dan penutupan, yang akan dilaksanakan secara lebih sederhana dan simbolik.
Bagaimanapun, aspek teknikal dan standard pertandingan menurutnya akan kekal mengikut piawaian ditetapkan bagi memastikan prestasi atlet tidak terjejas.
Selain itu, ujar beliau, jumlah sukarelawan juga akan dikecilkan daripada lebih 30,000 pendaftaran kepada 5,000 orang, selaras dengan langkah penjimatan.
BERITA LANJUT MENYUSUL