18 Menteri Muda Kabinet Negeri Sarawak mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, enam adalah muka baharu yang dilantik memegang jawatan Menteri Muda, manakala 12 lagi adalah Menteri Muda dalam kabinet sebelum ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memaklumkan bahawa beliau tidak berhasrat untuk meminda perlembagaan negeri di mana 11 Kementerian yang ada kini sudah mencukupi.

"Sekarang kita sudah mempunyai 11 Kementerian termasuk satu lagi. Itu sudah mencukupi bagi semua Kementerian dengan penambahan kerusi daripada 71 kepada 82 kerusi", katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini.

Muka baharu yang dilantik ialah Dr Abdul Rahman Junaidi, Dr Abdul Rahman Ismail, Dr Annuar Rapaee, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Malcom Mussem Lamoh dan Datuk Dr Penguang Manggil.

Selain itu, 12 muka lama yang dikekalkan ialah Datuk Mohd Naroden Majais, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Francis Harden, Datuk Talip Zulpilip, Datuk Lee Kim Shin, Liwan Lagang dan Datuk Len Talif Salleh.

Manakala Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Rosey Yunos dan Datuk Roland Sagah Wee Inn dikekalkan.

Sementara itu, jawatan Timbalan Speaker DUN negeri kosong berikutan pelantikan Sagah sebagai Menteri Muda diisi (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.

PRN-11 menyaksikan BN memperoleh kejayaan besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, berbanding 55 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri 2011.