KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus dizalimi berkait saman melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menerusi kenyataan di laman Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau berasa pelik apabila 1MDB meneruskan saman sivil terhadap Najib dengan menuntut ganti rugi AS$8 bilion daripada bekas Presiden UMNO itu.

Ini kerana jelas beliau, berdasarkan jawapan daripada Kementerian Kewangan (MoF) di Dewan Rakyat, memaklumkan bahawa 1MDB telah mendapat balik asetnya bernilai kira-kira RM41.6 bilion.

"Tetapi kenapa Najib terus dizalimi? 1MDB di bawah MoF.

"Apa yang mencurigakan ada nama yang turut disaman tetapi nama mereka sudah hilang daripada senarai," katanya dalam kemas kini tersebut pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata saman tersebut dimulakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada 2020, dan kini ia diteruskan seperti mana afidavit yang dikemukakan di mahkamah pada 23 Mei lalu.

Lebih menghairankan, beliau mendakwa dana RM114 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi agar dipulangkan kepada akaun Najib kerana ia milik UMNO, juga dimasukkan dalam saman berkenaan.

"Jangan lupa pada 2017 sudah ada perjanjian penyelesaian 1MDB-IPIC (International Petroleum Investment Company) untuk dapatkan balik dana 1MDB. Najib empat kali membangkitkan isu ini.

"Tetapi Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) batalkan perjanjian itu agar naratif wang 1MDB ‘hilang’, boleh terus dieksploitasi untuk cemarkan Najib," tulisnya lagi.

Begitupun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menambah penyelesaian 1MDB-IPIC diteruskan dan MoF telah mengumumkan IPIC-Aabar PJS (Aabar Investments PJS) membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

"PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) anggap ia kejayaan besar," ujar Mohd Fuad.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Pengerusi 1MDB, Datuk Johan Mahmood mendakwa Najib hanya mendedahkan sebahagian asetnya berhubung perintah injunksi mareva (larangan melupuskan harta) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lalu.

Menerusi afidavit tambahan dalam kes saman yang dikemukakan 1MDB dan anak syarikatnya terhadap Najib dan tujuh yang lain, Johan mendakwa Najib hanya mendedahkan asetnya dari tahun 2011 hingga 2020, dan tiada maklumat dibuat mengenai asetnya dari tahun 2021 hingga 14 Mac 2023.

Menurut afidavit tersebut, Najib didakwa mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya dan jumlah itu tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang dikembalikan oleh mahkamah terhadapnya pada 2021.

Wang sebanyak RM114 juta itu dikembalikan kepada Najib berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk pelucuthakkan wang tunai tersebut.