KUALA LUMPUR: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan di Sabah memerhati dengan serius perkembangan politik di negeri itu yang kini bertiup kencang.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada November 2022 yang lepas,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh seramai tujuh ADUN PH Sabah itu turut menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Tujuh ADUN terdiri daripada Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Terdahulu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan dijangka mengadakan sidang media petang ini dipercayai untuk mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti ADUN Sabah.

Dalam jemputan media, sidang media itu dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu.

Setakat ini, kerajaan Sabah dipimpin Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.