KUALA LUMPUR: Ujian pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah memilih barisan jemaah menteri pentadbirannya, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menerusi akaun Twitternya, Ahli Parlimen Pulai itu mempersoalkan adakah Ahli-ahli Parlimen yang dilabel sebagai 'kluster mahkamah' dan dianggap menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan dicadangkan sebagai menteri.

"Adakah kluster mahkamah dan mereka yang jelas menderhaka kepada titah YDPA akan dicadangkan sebagai menteri kabinet? Inilah ujian pertama kewibawaan PM ke 9. Rakyat memerhati dan menunggu," katanya.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan 16 Ogos lalu.


Pada Sabtu, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu dihadapan Yang di-Pertuan Agong.

Pembentukan Kabinet baharu pentadbiran Ismail Sabri menjadi perhatian pemerhati politik selepas banyak pihak terutama daripada Pakatan Harapan (PH) yang mahukan Perdana Menteri baharu tidak mengikut jejak Muhyiddin yang mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri yang ramai.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyarankan agar Ismail Sabri menubuhkan Kementerian Kanak-Kanak ekoran isu penindasan, penderaan dan gangguan seksual serta pengabaian terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).