Skip to main content

Politik

Ketua Srikandi Bersatu Johor letak jawatan, kembali sertai UMNO

SINAR HARIAN
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau Alwiyah Talib hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO. - Foto Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Alwiyah Talib mengumumkan meninggalkan parti itu dan kembali menyertai UMNO.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Ketua Bersatu Bahagian Mersing berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek demi kebaikan dan masa depan kawasan yang diwakilinya.

“Saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO.

“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menjaga kebajikan penduduk di DUN Endau, selain mampu menyumbang kepada masa depan yang lebih baik serta memperkukuh perpaduan masyarakat di kawasan berkenaan.

Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada pengundi atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi DUN Endau dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.

Beliau sebelum itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai Bersatu.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin lepas bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN negeri itu.
 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement