KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Agong bertitah, usaha itu adalah selari dengan cetusan hasrat murni baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Dengan itu, baginda bertitah, kerajaan kini boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat.

"Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

"Besar harapan beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara," titah baginda di sini, pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati rakyat Malaysia supaya berlapang dada menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam titah itu, baginda turut menzahirkan ucapan syabas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri Ke-10 menerusi usul percaya pada 19 Disember lalu.

"Sekalung tahniah buat Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun yang telah dilantik beta sebagai Perdana Menteri Ke-10, serta kepada seluruh barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

"Pada kesempatan ini juga, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri Ke-9," titah baginda.