Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin menafikan bahawa beliau keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Menurut kenyataan di laman media sosial Facebook miliknya, “Salam, Untuk rekod, saya masih dalam Parti PKR, begitu juga saya nafikan bahawa saya pernah memberi persetujuan bahawa saya telah keluar daripada parti.

“Hal ini akan saya jelaskan juga kepada Ahli Jawatankuasa dan Biro parti petang ini,” jelas beliau.

Kenyataan beliau tersebut disertakan lampiran keratan akhbar bertajuk “Azmin, Ahli Parlimen PKR mahu sertai Bersatu”.

Bagaimana pun, hasil semakan Astro AWANI mendapati, kenyataan beliau itu telah dipadamkan di halaman Facebook miliknya.

Malah, beliau juga dilihat bergambar bersama dengan Azmin Ali dan sembilan bekas ahli PKR yang lain ketika mengadap Yang Di-Pertuan Agong semalam (Rabu).

Kenyataan Jonathan ini dibuat tiga hari selepas Bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali membuat pengumuman keluar daripada PKR disertai 10 lagi ahli parti lain termasuk Jonathan Yasin.

Mereka dipercayai mahu membentuk blok bebas di Parlimen.

Mereka yang keluar ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).