SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa ahli pembangkang tidak mengetahui tentang ‘Langkah Dubai’ seperti yang hangat diperkatakan kini.

Hamzah berkata, ia merupakan satu fitnah yang direka dan dimainkan oleh pihak tertentu serta tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat.

“Cerita Langkah Dubai terus berada dalam media sosial. Siapa yang mulakan? Siapa yang menggelabah? Siapa yang terpaksa buat laporan polis?

“Siapa yang menjawab bahawa pembangkang tidak ada cukup sokongan? Siapa pula yang minta pembangkang bawa dalam Parlimen?,” soalnya dalam satu kenyataan di laman sosial, Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis menerima 13 laporan berhubung gerakan Langkah Dubai yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua laporan polis yang diterima itu akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Hamzah mendakwa rakyat masih tertunggu-tunggu akan keharmonian dan kesejahteraan hidup tetapi masih ada menghangatkan dengan cerita politik yang tidak berpenghujung.

Katanya, ramai yang mengadu kepada beliau akan kehidupan mereka bertambah susah.

“Bukan saja harga barang naik, caj perkhidmatan dan utiliti juga meningkat. Persoalannya di mana penyelesaian kos sara hidup yang menghimpit rakyat di waktu ini?

“Kenyataan PMX (Anwar) membawa 1,001 soalan, apa maksud dana berjuta-juta untuk dijadikan sumbangan. Mengapa dicampur-adukkan dengan pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong? Rakyat berasakan ada sesuatu yang janggal,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan pimpinan Anwar perlu menerima hakikat bahawa banyak kelemahan dan kepincangan serta ketidakcekapan dalam mengurus itu harus ditangani segera.

Hamzah berkata, pentadbiran kini perlu menunjukkan keadilan kepada semua dan menyakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu mengurus masalah ekonomi, sosial dan keselamatan negara.

“Yakinkan kepada semua bahawa kerajaan sedang berusaha untuk semua, tak kira bangsa atau agama.

“Jangan cakap lain buat lain. Jangan sampai rakyat meluat dengan segala janji-janji yang dicanangkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa amalan demokrasi perlu diteruskan dan jangan salah tafsir terhadap undang-undang negara.

“Jangan menakut-nakutkan semua pihak dalam negara.

“Pembangkang, rakan, penyokong dan sesiapa sahaja boleh menjadi sahabat, boleh juga menjadi musuh pada bila-bila masa,” ujarnya.

- Sinar Harian