TELOK MAS: Gelanggang pertembungan tiga pemimpin parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas semakin sengit dengan kemunculan seorang lagi pesaing, iaitu calon Bebas.

Ahli perniagaan Muhammad Ariff Adly Mohammad, 32 tahun, bakal menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Setiausaha Amanah Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Muhammad Ariff yang tiba kira-kira jam 8.55 itu merupakan anak jati Telok Mas dan pertama kali menjadi calon pada pilihan raya.

Terdahulu, Mohd Rafiq menjadi calon terawal tiba di pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas, bersama seorang penyokong dan pencadang, untuk menyerahkan kertas pencalonan pada jam 8.48 pagi.

Senarai calon bertanding diumum Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Mohd Azam Ahmad selepas tamat tempoh bagi proses pencalonan.

Gelanggang itu dijangka sengit selepas Mohd Rafiq yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Paya Rumput beralih kerusi, manakala Datuk Abdul Razak sekali lagi mempertaruhkan nasib selepas tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. 

BACA: LAPOR LANGSUNG PRN Melaka berlangsung dalam norma baharu

Telok Mas mempunyai 20,712 pengundi dengan enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Ujong Pasir Darat, Kampung Ujong Pasir, Padang Temu, Alai, Kg Telok Mas dan Pernu.

DUN Telok Mas sebelum ini disandang bekas ADUN, Datuk Noor Effandy Ahmad, yang menang atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Beliau menewaskan Abdul Razak dan Roszali Md Yasin dari Pas dengan majoriti 1,288 undi pada PRU14.