POLITIK
Ahli politik atau teknokrat, siapa yang layak ganti Rafizi?

Teka teki timbul siapakah yang layak mengganti Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli? - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatannya pada 28 Mei, menimbulkan teka-teki -- siapakah yang seharusnya mengisi kekosongan di Kementerian Kanan itu?
Penganalisis yang juga Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, ketika diwawancara Astro AWANI, memberikan pandangannya tentang beberapa individu yang dilihat berpotensi untuk menggantikan Rafizi.
Menurut Sivamurugam, pengalaman Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku Menteri Kewangan dan mendapat undian tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO menunjukkan beliau layak untuk menggalas tugas tersebut.
“Banyak program kita melihat bagaimana penonjolan beliau (Johari) sebagai antara pemimpin induk dalam Kabinet. Beliau malah memegang jawatan sebagai Naib Presiden yang telah memenangi undi paling banyak dalam parti. Itu menunjukkan bahawa parti menghormati kedudukannya,” katanya.Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, beliau berkata, terdapat kekangan untuk Tengku Zafrul berada di posisi tersebut memandangkan tempoh senator Ahli Dewan Negara akan berakhir.
Namun, penganalisis politik itu berpendapat Tengku Zafrul boleh memainkan peranan selaku penasihat ekonomi Perdana Menteri berstatus menteri.
“Berdasarkan kemampuan beliau, portfolio lain yang boleh dipertimbangkan adalah sebagai penasihat ekonomi kepada PM yang mempunyai status sebagai Menteri, walaupun tidak berada dalam Kabinet. Sekurang-kurangnya kepakaran beliau itu masih boleh diguna pakai,” katanya.
Sivamurugan turut melihat idea untuk mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul untuk bertanding menjadi Ahli Parlimen bagi memanjangkan kariernya dalam Kabinet merupakan langkah yang tidak sesuai.
“Walaupun ada yang menunjukkan bahawa kenapa tidak dikosongkan satu kerusi dan dibolehkan beliau bertanding di kerusi tersebut, saya rasa dalam kedudukan semasa, itu tidak sesuai. Apatah lagi ada ura-ura mengatakan bahawa beliau meninggalkan UMNO kepada (menyertai) PKR,” katanya.
Bagi Sivamurugan, dengan melantik Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dapat menarik sokogan belia kepada Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengalaman hampir 30 bulan (Setiausaha Politik) di Kementerian Kewangan mampu diangkat. Mungkin ada yang rasakan (Muhammad Kamil) terlalu muda untuk diangkat sebagai Menteri, tapi saya rasakan, ini masa bagi PM untuk mengangkat anak muda dan tidak melihat kepada faktor umur,” katanya.
Masih berhubung hal pengisian jawatan itu, Prof Sivamurugan turut mengutarakan nama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Dr Nungsari Ahmad.
“Beliau (Nungsari) pernah bersama Perdana Menteri.. menasihati sektor ekonomi. Jika dirasakan mahu diberikan tanggungjawab sebagai Menteri, kenapa tidak diberikan ruang tersebut dengan pelantikan sebagai seorang Senator,” katanya.
Sivamurugan berpendapat, melantik golongan teknokrat akan meredakan suhu politik yang sedang mendidih pasca Pemilihan PKR 2025.
Beliau juga membayangkan sosok yang dipillih kelak akan dibandingkan dengan Rafizi.
“Kita tidak boleh menolak Rafizi telah menyumbang kepada langkah strategik dalam Kabinet, maka individu yang akan mengambil alih teraju kepimpinan di portfolio kementerian ini mestilah seorang yang bersedia untuk berhadapan dengan apa saja cabaran,” jelasnya.
Sivamurugan juga memahami jawatan tersebut tidak seharusnya diisi dengan tergesa-gesa namun tempoh dua minggu memadai memandangkan ia merupakan kementerian yang penting.
“Saya percaya rombakan itu boleh dilakukan dalam masa dua minggu, supaya langkah seterusnya adalah untuk bergerak kehadapan dan mengetepikan apa saja pertembungan yang telah berlaku dan memberikan tumpuan ke atas usaha meningkatkan keyakinan, kepercayaan hubungan antara anggota Kabinet-Kementerian dengan rakyat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami