Kuasa ahli politik lebih besar berbanding pentadbir terutama dalam skop memimpin, mengatur dasar negara dan isu berkaitan hal antarabangsa.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, platform kuasa politik jelas bersumberkan kuasa rakyat‎ dan datang daripada rakyat sendiri.

"Ahli politik terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang menggubal dasar kerajaan yang akan diguna pakai oleh pentadbir.

"Siapa yang lebih besar kuasanya? Pentadbir atau ahli politik, bagi saya pentadbir sebagai mentadbir sahaja, ahli politik yang lebih berkuasa sebenarnya.

"Hakikatnya, ahli politik berkuasa kerana dipilih oleh rakyat dan boleh bertukar dalam tempoh yang ditetapkan," katanya semasa menjadi panel pada wacana ilmiah Sinar Harian bagi siri ke-39 dengan tajuk 'Siapa lebih berkuasa: Pentadbir atau ahli politik?’ di sini hari ini.

Selain Rahim, bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines yang juga merupakan pengamal undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman turut menjadi panel.

Isu campur tangan politik dalam pentadbiran bukanlah suatu perkara baharu, malah ia sering menjadi topik hangat dan perdebatan di antara kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun tegas Rahim, ahli politik di negara ini tidak boleh berkuasa selamanya kerana sistem demokrasi sendiri.

"Dalam lima tahun, ahli politik boleh dipilih semula, sama ada kekal atau ditukar muka baharu. Jadi ini menunjukkan ahli politik berkuasa besar tetapi tidak sebenarnya sebab rakyat yang berkuasa," katanya.

Dalam pada itu Aziz menjelaskan, negara beruntung memiliki pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

"Mereka ini pentadbir jadi mereka boleh beri garis panduan. Untung kerana ada yang beri asas kepada mereka dahulu.

"Apa kita buat dalam negara ini mesti berasas kepada undang-undang dan yang mentadbir undang-undang adalah pegawai yang dilantik. Walaupun ada undang-undang, kadang-kadang akan ada campur tangan.‎

"Sebenarnya yang berkuasa adalah undang-undang. Orang politik dahulu tidak faham tugas‎ tetapi sekarang sudah teratur. Ada pengasingan kuasa," jelasnya.

Sementara itu, Adam memberitahu kuasa politik atau pentadbir tidak boleh 'lari' dari kuasa Perdana Menteri sendiri.

"Kita tak boleh lari dari Perdana Menteri. Macam Tan Sri Rahim kata, buat kerja tetapi tetap perlu tunggu lampu hijau.

"Mungkin perdana menteri tidak campur tangan tetapi tetap kena tunggu lampu hijau daripadanya. Formal atau tidak formal, kena ada anggukan pertama juga daripada Perdana Menteri. Jika tidak, apa pun tidak boleh berlaku," katanya.

Moderator bagi wacana itu adalah Pengarang Eksekutif Astro AWANI, Nazri Kahar.