Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien menegaskan, pengorbanan dan taat setia anggota parti perlu diletakkan pada kedudukan tertinggi bagi mengelakkan perpecahan seperti yang berlaku setahun lalu.

Mengakui ia bukan perkara mudah untuk dilakukan, namun tegas Hishammuddin, ahli perlu sedia berkorban bagi memastikan tanah air tidak hilang kerajaan dan pada masa sama nasib Melayu terus terbela.

"Benar, tidak mudah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi sebagai ahli parti kita perlu taat dan setia serta sanggup berkorban agar tanahair kita tidak akan hilang Kerajaannya, dan Melayu akan terus terbela," katanya ketika berucap semasa sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU 2016) di sini hari ini.

Katanya, di sebalik tuntutan pengorbanan, UMNO mempunyai tugas dan peranan untuk memenangi hati rakyat, dengan memenuhi keperluan mereka.

"Tugas dan peranan untuk memenangi pilihan raya akan datang, yang seterusnya dapat kita kekalkan tampuk kuasa, agar segala perancangan yang disusun sehingga tahun 2050 dapat dicapai dan dilaksanakan.

"Jangan lagi ada persoalan. Gendang telah dipalu, semboyan telah dibunyikan, kita berilah sepenuh komitmen, taat dan setia, kita laksanakan arahan kepimpinan kita pastikan gelombang yang kita wujudkan hari ini, akan menjadi tsunami menuju PRU14!" ujarnya lagi.

Tambahnya dalam memelihara kedaulatan negara, perlu juga membicarakan soal keselamatan dan keamanan.

Dalam ucapan penggulungannya juga, Hishammuddin memberi penghormatan kepada Angkatan Tentera Malaysia sebagai menghargai jasa mempertahankan negara.

"Pembelaan termasuklah merancakkan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) seluruh negara, menambah baik Sistem "Tred and Band" yang memberi manfaat kepada gaji anggota, serta memastikan anak-anak anggota dapat menikmati kemudahan bas untuk ke sekolah seperti pelajar-pelajar lain," katanya.