JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa jentera parti komponen itu akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di Johor.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin BN dan PH bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana gabungan itu memiliki tahap kebersamaan yang kukuh dan kuat di Johor.

"Pada hemat saya, landskap politik di Johor adalah sangat berbeza, tahap kebersamaan (Kerajaan Perpaduan) itu lebih kukuh dan kuat. Kita yakin untuk hadapi dua PRK ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Belia Desa MADANI@KKDW di B5 Johor Street Market di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kerjasama BN dan PH dalam PRK di kedua-dua kerusi susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai penamaan calon bagi PRK itu manakala pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai menentang calon Perikatan Nasional (PN) Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai Zulkifli Jaafar manakala DUN Simpang Jeram pula menyaksikan calon PH iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, akan bertemu Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN, yang merupakan seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

Mengulas perancangan beliau untuk mengadakan pertemuan dengan 191 bahagian UMNO di seluruh negara mulai Jumaat, Ahmad Zahid berkata ia bagi memberikan pencerahan berhubung kerjasama BN dan PH.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan wujud kekhuatiran terutama dalam kalangan pengundi parti itu berhubung kerjasama kedua-dua gabungan meskipun Kerajaan Perpaduan telah berjalan selama sembilan bulan.

"(Kekhuatiran) itu terutama apabila ada istilah yang sengaja dicipta iaitu UMDAP. Bagi BN, kita sendiri pernah kerjasama dengan Gerakan yang menguasai Kerajaan Negeri Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

"Penolakan ahli UMNO dan orang Melayu ketika itu agak terkesan kepada parti tetapi selepas proses pencerahan dilakukan BN, akhirnya kerjasama itu diterima baik dan ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh kami (BH-PH)," katanya.

Menyentuh perhimpunan solidariti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi mempertahan kepimpinan beliau sebagai Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata ia memberikan mesej penting mengenai kepentingan mengekalkan institusi kepimpinan parti itu.

"Dalam politik, pasti ada turun naik, jadi kena tukar minda sendiri, sama-sama memperkukuh kesatuan dan solidariti dalam parti sendiri supaya gabungan parti kita dihormati," katanya.

Beliau berkata sekiranya penukaran kepimpinan mahu dilakukan, ia perlu melalui kaedah demokrasi iaitu menerusi pemilihan UMNO yang akan berlangsung dalam tempoh tiga tahun.

-- BERNAMA