KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi oleh ahli akar umbi sekiranya tidak segera berundur dari jawatan Presiden UMNO.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, ia sekali gus akan melakar semula perjalanan parti itu dalam landskap politik tanah air.

"Dalam konteks survival UMNO, adalah amat penting untuk beliau mengambil langkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak.

"Saya bimbang kalau Ahmad Zahid terus berpegang kepada jawatan itu, akan menjerumuskan parti itu ke dalam kancah masalah dalam PRU disebabkan bebanan liabiliti perlu ditanggung parti itu. Lebih 50 kes membelenggu beliau di mahkamah, sehingga boleh menggugat kedudukan UMNO.

"Demi sruvival parti dan bagi membolehkan UMNO kembali muncul sebagai parti dominan sebagaimana yang dihasrat oleh seluruh kepimpinan tertinggi dan ahli akar umbi, maka langkah yang paling baik dan pragmatik ialah dengan memberi laluan kepada kepimpinan lain yang boleh mencorakkan semula parti itu ke dalam landskap poltik negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA: 'Tidak mustahil Najib jadi PM kali kedua' - KB UMNO

BACA: PRU15: Manifesto Barisan Nasional tidak akan seperti 'Janji Manismu' Pakatan Harapan - Ahmad Zahid

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman didakwa melakukan gerakan menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Memetik laporan sebuah portal, dakwaan itu dibuat Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan tindakan Tajuddin itu dibuat sejak tahun lalu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang sebelum ini turut meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika mahu menteri-menteri dalam parti itu meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.

Dalam pada itu, Jeniri bagaimanapun percaya, Ahmad Zahid faham kesan dan implikasi tindakannya jika terus memegang jawatan berkenaan.

"Jalan terbaik adalah dengan akur dan tunduk kepada suara lebih 3 juta ahli akar umbi yang mengatasi suara kepimpinan tertinggi di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (KMT).

"Bagi saya sebagai seorang pemimpin yang sudah berpengalaman dan jatuh bangun dalam UMNO, jadi akhirnya UMNO harus diberi peluang bernafas bermula. 

"Kalau UMNO itu dapat bertahan dan muncul kembali nanti, maka kedudukan beliau mungkin akan diselamatkan parti di kemudian hari," katanya. 

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dalam wawancara bersama sebuah akhbar pada Ahad turut menyarankan mana-mana pemimpin UMNO yang berdepan pertuduhan mahkamah berehat daripada parti atau meletak jawatan kerana meninggalkan tanggapan buruk dalam kalangan rakyat.