KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan manifesto parti itu tidak akan dipenuhi dengan janji ‘bulan dan bintang’, serta bermodalkan fitnah, seperti mana beliau mendakwa dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tempoh pemerintahan 22 bulan di bawah PH menyaksikan manifesto pakatan itu hanya sekadar janji kosong, seperti ‘Janji Manismu’ dendangan penyanyi Aisyah.

Selain itu, tambah Presiden UMNO itu lagi, kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk selepas kejatuhan PH juga tidak menyediakan sebarang manifesto.

“Kita boleh menilai sendiri apa yang dilakukan PH ketika itu. Berbagai alasan diberikan kerana tidak mampu menunaikan janji. Padahal sebelum PRU14 pasukan mereka jugalah yang memasang khemah pengakap di Dataran Merdeka bagi menuntut PTPTN dihapuskan.

“Maka, tiada hala tuju dan garis panduan yang boleh dilaksanakan. Berbanding Barisan Nasional (BN), gabungan parti terlebih dahulu merangka manifesto. Apa yang penting aku janji itu adalah logik dan berkeupayaan untuk ditunaikan kerana BN amat mementingkan kebajikan rakyat, membangunkan negara dan ekonomi,” katanya lagi.

Pada Disember 2019, Menteri Kewangan dari PH ketika itu Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH telah menunaikan janji seperti pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta menurunkan harga petrol RON95 kepada RM2.08.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PH juga berjaya melaksanakan Pas Perjalanan Rapid Tanpa Had My100 kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pas Mutiara kepada rakyat Pulau Pinang.

Tambahnya lagi, kerajaan PH juga telah menjalankan pentadbiran yang bersih, telus dan beramanah yang mengelak pembaziran dana awam, yang dapat disalurkan kepada projek pembangunan rakyat di seluruh negara.

"Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) berkata bahawa 60 peratus janji telah ditunaikan, tinggal 40 peratus. Sebab itu kita kena mula tahun depan supaya akhirnya dapat disempurnakan sebelum 2020,” katanya lagi.

BACA: Baki 40 peratus janji manifesto PH akan ditunai pada 2020 - Guan Eng 

Namun, sejarah menyaksikan pada Februari tahun lepas, PH telah ditumbangkan akibat perpecahan dalaman, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menerima saranan Sayap Pemuda dan Puteri UMNO sewaktu perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, agar disediakan satu tawaran baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Ini bermakna parti merangka manifesto dan aku janji terbaharu bagi mendepani PRU15. Atas sebab itu saya meminta pasukan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangka manifesto.

“Dan saya juga difahamkan bahawa manifesto itu padat, jelas dan mampu ditunaikan. Fokus kami memperbaiki negara dan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah,” katanya lagi.