Bekas Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mizan Adli Mohd Noor mendakwa Ketua AMK, Akmal Nasir menggunakan gangster untuk menghalang beliau masuk ke Kongres Nasional AMK 2019.

Mizan berkata, beliau masih mempunyai hak untuk memasuki tempat persidangan atas alasan pelucutan jawatan beliau sebagai Pengerusi Tetap tidak sah.

"Saya dihalang masuk dan saya telah diberitahu bahawa kongres berlangsung tanpa saya ada di dalam. Saya masuk ke dalam tapi ditolak dan dipukul dan terus keluar. Di mana suara perwakilan PKR yang lain?

"Adakah Akmal guna budaya gangster? Kami tidak buat apa pun. Sebarang keputusan berhubung jawatan seharusnya ditamatkan dalam kongres tapi saya tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada media

Mizan berkata, kongres yang sedang berlangsung itu tidak sah kerana sebarang pelantikan Pengerusi Tetap yang baharu, memerlukan kehadiran beliau.

"Jika nak tukar Pengerusi Tetap sekalipun, saya mesti dalam kongres...saya bukan yang menang bertanding, saya sebahagian daripada kongres. ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) sebut bahawa pemilihan berlaku dalam tiga tahun sekali. Jadi kami dinafikan hak untuk masuk ke dalam. Saya tidak dibenarkan masuk ke dalam.

"Adakah perlu berlaku gangsterisme? Ada banyak video yang telah dirakam, pemerhati lebih ramai berada di dalam sedangkan tidak ada tag. Yang punyai tag (identiti pengenalan diri) adalah perwakilan dan disekat untuk memasuki dewan,” katanya lagi.

BACA: Kongres AMK kecoh, bekas pengerusi tetap dilarang masuk

Pada 28 November lalu, Mizan dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Tetap AMK dan Timbalan Pengerusi Tetap AMK.

Susulan dihalang masuk, Mizan berkata, beliau bersama 200 perwakilan lain akan membuat laporan polis hari ini.