AYER KEROH: Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh mengakui sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang.

Beliau, bagaimanapun, belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu meskipun terdapat permintaan daripada rakan-rakan parti. 

“Ada juga rakan-rakan datang jumpa saya minta (untuk) bertanding, tetapi beri saya ruang dan peluang untuk buat keputusan.

“Setakat ini saya masih lagi belum putuskan… Insya-Allah saya bersedia dengan apa sekalipun dan ‘ready to fight’,”katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, meskipun menerima sokongan yang tinggi daripada rakan-rakan parti, beliau akan membuat pertimbangan secara terperinci sebelum memutuskannya dalam tempoh dua minggu lagi.

“Seperti sedia maklum jawatan Ketua Pemuda UMNO akan dikosongkan sebab Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki buat ketetapan untuk tidak lagi bertanding.

“(Jadi) beri saya tempoh dalam seminggu dua ini untuk buat keputusan (bertanding Ketua Pemuda UMNO),” katanya.

Asyraf Wajdi sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO akan datang.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, bagi membolehkan nakhoda baharu memimpin sayap parti itu.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan sayap terbabit dapat merencana langkah baharu dengan idea baharu, untuk bangkit selepas parti tewas dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU).