KUALA LUMPUR: Sebarang usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Akta Berparlimen Berpenggal dilaksanakan perlu mengambil kira kuasa dan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan sekiranya kerajaan mahu melaksanakan akta tersebut, rundingan perlu diadakan dengan Raja-Raja Melayu kerana ia melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Mohamed Nazri, biarpun beliau pernah mencadangkan agar Parlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan sesebuah kerajaan ditubuhkan kekal selama lima tahun namun ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.

"Saya pernah cadangan perkara ini ketika berbahas di Dewan Rakyat sebelum digubal Akta Anti Lompat dan tahun lepas mengulanginya agar Perlembagaan dipinda untuk memastikan sesebuah kerajaan kekal selama satu penggal.

"Namun ia bukan satu perkara yang mudah kerana melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong iaitu kuasa membubarkan Parlimen.

"Jika kerajaan mahu menggubal undang-undang dan meminda Perlembagaan bagi membolehkan Akta Berparlimen Berpenggal dilaksanakan, saya nasihatkan agar rundingan dibuat dengan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu dan perlu mendapatkan persetujuan Raja-Raja Melayu.

"Saya ingin cadangkan agar diletakkan dalam akta tersebut perlu kekal selama empat tahun dan kerajaan yang memerintah perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen selepas empat tahun yang memerlukan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tidak boleh sama sekali mengenepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen dan pembentukan kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu rang undang-undang digubal bagi membolehkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap diperkenalkan untuk memastikan tiada sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sebelum habis penggal.

Cadangan Ahmad Zahid itu kemudiaan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang menjelaskan usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukan langkah terdesak.

Sebaliknya Azalina berkata, ia mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak menentu.