KUALA LUMPUR:Tidak menjadi kewajipan untuk  kerajaan mengundurkan diri sekiranya Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan tidak diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata konvensyen yang diamalkan di Malaysia tidak mengikat kerajaan untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah Parlimen membenarkan usul undi tidak percaya dibahas di Dewan Rakyat untuk menentukan keabsahan kerajaan.

"Selain menguruskan pentadbiran negara, perlu membawa satu undi tidak percaya di Dewan Rakyat bagi memastikan keabsahan kerajaan sedia ada.

"Ini penting kerana kalau Belanjawan itu ditolak, ini menggambarkan bahawa kerajaan sedia ada sedang bergelut dengan keabsahan.

"Maka langkah terbaik lakukan dengan formaliti iaitu kemukakan usul tidak percaya, dan pihak Parlimen perlu dengan terbuka di sidang Dewan Rakyat (dan) menerima usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen  untuk dibaca, dibentangkan dan dibahaskan bagi memastikan wujud keabsahan kerajaan yang sedang memerintah," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan secara automatik akan hilang kuasa sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata istilah Belanjawan Interim juga tidak wujud dalam Perlembagaan Negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Perdana Menteri boleh mengesyorkan supaya Dewan Rakyat digantung atau prorog, jika Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan penuh.

"Perdana Menteri (juga) jika diberikan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk prorog sidang Dewan Rakyat. Maka pilihan yang ada ini boleh digunakan, namun saya sebenarnya tidak bersetuju dengan istilah bajet interim, (kerana ia) tidak ada dalam Perlembagaan.

"Apa yang ada adalah ruang yang dibenarkan mengikut Perkara 102 Perlembagaan, untuk menguruskan perbelanjaan dari aspek membayar gaji kakitangan awam dan pesara, itu yang sebenarnya ada.

"Kita perlu lihat bahawa tindakan perlu dilakukan oleh kerajaan yang mentadbir sekarang selepas keputusan (undi Belanjawan 2021) berjaya diperoleh petang ini," katanya lagi.

BACA: Belanjawan 2021: Dewan Rakyat lanjut sidang hingga semua kementerian selesai penggulungan

Selain prorog Dewan Rakyat, beliau menambah Perdana Menteri boleh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atau mencadangkan untuk melantik Perdana Menteri baharu.

Pengundian meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar berlangsung hari ini selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan.