KOTA KINABALU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berharap partinya itu berpeluang untuk mendapat kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, ia bergantung kepada perundingan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kita harap Amanah boleh bertandinglah tetapi bergantung kepada perundingan," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Diminta mengulas adakah Amanah masih mempunyai peluang memandangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mempunyai lebih banyak peluang sebelum ini di Sabah, beliau sekali lagi berkata, dengan adanya pakatan bersama parti lain sudah tentu ada peluang untuk mereka merebut kerusi di negeri ini melalui rundingan antara pakatan.

"Kalau kita bertanding atas pakatan ini, mana-mana parti kalau bertanding atas pakatan ada harapan cuma nak mendapatkan kerusi itu atas perundingan," jelasnya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai persediaan Amanah susulan kemungkinan akan berlaku kekosongan enam kerusi Parlimen yang dituntut oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menegaskan ia masih belum ditentukan lagi.

"Itu kita tidak tahu lagi, kita tunggulah bila tiba waktu 'we cross the bridge'," katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Susulan tindakan mereka itu, Bersatu meluluskan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti. - Sinar Harian