KUALA LUMPUR : Parti komponen Pakatan Harapan (PH), Amanah menjadi parti seterusnya yang menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Presidennya, Mohamad Sabu, ini kerana PN merupakan sebahagian daripada kerajaan.

“Tidak ada sebarang kerjasama PH dengan PN kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Mungkin Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) tidak perasan dia berada di dalam kerajaan walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Kegagalan kerajaan hari ini adalah kegagalan bersama PN dan BN,” katanya yang berbentuk sindiran apabila merujuk kepada Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.

Mohamad Sabu menerusi ciapannya di Twitter berkata, perkara itu susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan yang enggan menjalinkan sebarang kerjasama dengan PH dalam PRU15.

BACA: Pas tidak akan bekerjasama dengan PH hadapi PRU15 - Takiyuddin

Ini termasuk dengan usaha untuk mewujudkan "khemah besar".

Ujarnya, pendirian itu juga jelas bercanggah dengan pendirian Muhyiddin baru-baru ini yang membayangkan hasrat untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Baru-baru ini, Pengerusi PN itu membuat gesaan agar seluruh kepimpinan parti pembangkang termasuk PH mempertimbang untuk berunding bersama PN bagi persiapan menghadapi PRU15.

Langkah itu, katanya sebagai usaha untuk memastikan BN tidak kembali menguasai pentadbiran kerajaan yang boleh menyaksikan amalan rasuah serta salah guna kuasa kembali berulang.

BACA: PRU15: Tiada kerjasama dengan PN, noktah - Rafizi

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga menegaskan untuk menolak sebarang bentuk  bekerjasama dengan PN.