KUALA LUMPUR: Pas memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk cadangan konsep "khemah besar".

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian yang diadakan semalam.

Beliau berkata selain itu, mesyuarat berkenaan juga turut memutuskan bahawa kerajaan negeri yang diterajui Pas tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing lebih awal dari Mac 2023.

"Ini atas dasar ketika ini tumpuan lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat, terutama dalam bidang ekonomi selain daripada kesihatan," katanya.

Takiyuddin berkata Pas mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan pihak yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Katanya, Pas tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah serta pendirian politik parti itu.

"Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua perkara berkenaan juga akan diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang dijadual berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 Sept ini.

Pada 20 Ogos lepas, Takiyuddin dilapor berkata seramai 1,300 perwakilan akan menyertai muktamar yang bermungkinan menjadi muktamar terakhir parti sebelum PRU15.

-- BERNAMA