KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, surat berkenaan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 15 Oktober lepas.


Bahkan, beliau turut melabelkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sekarang "bagaikan telur di hujung tanduk".

“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil.

“Bagaikan telur di hujung tanduk,” tulis beliau dalam laman Twitter beliau pada Jumaat.

Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Amiruddin bukanlah Ahli Parlimen pertama menghantar usul berkenaan. Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah melakukan perkara sama.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga menggesa agar Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Dr Mahathir dikemukakan di Dewan Rakyat.

Perkara itu didedahkan oleh Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar beliau kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 25 September lalu.

Tengku Razaleigh berkata pencadang usul tersebut iaitu, Ahli Parlimen Langkawi mendakwa Perdana Menteri tidak membenarkan usul itu dibahaskan sebanyak dua kali dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.

BACA: Tengku Razaleigh gesa Dewan Rakyat bahas Usul Tidak Percaya

Katanya, dengan cara itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat.

Kenyataan-kenyataan ini muncul tidak lama selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober lepas.