Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan, rekod bekas ketua pembangkang itu yang pernah menjadi Menteri Kewangan dengan membawa lebihan belanjawan terbukti beliau layak memegang jawatan nombor satu negara.

"Apa yang dilakukan oleh Anwar mirip dengan kisah kejayaan Presiden baharu Perancis, Emmanuel Jean-Michael Frederick Macron yang menang dalam pilihan raya presiden negara itu baru-baru ini.

"Partinya baharu, orangnya muda , lawannya lebih berpengalaman dan dijangka menang. Namun, Anwar sering ingatkan, jangan remehkan kebijaksanaan rakyat," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK sempena Kongres Nasional AMK yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.

Anwar, 70, kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.  - Gambar fail
Jelasnya, kekuatan yang ada pada Anwar membolehkan beliau diberi kepercayaan untuk memimpin arus perjuangan rakyat.

"Beliau mengingatkan kita bahawa kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan. Kita mahu menang kerana dengan itu kita boleh memimpin dasar-dasar perubahan.

"Tata kelola yang baik ini tidak boleh memadai sebagai idea yang mati di atas kertas seminar dan buku, sebaliknya menuntut kewibawaan pemimpin untuk melaksanakannnya," ujar beliau.

Malah katanya, Anwar telah menunjukkan resepi untuk melonjakkan kekuatan yang ada.

"Selepas bebas pada 2004, dan sebaik pulang dari Munich, beliau terus mengatur pelbagai pertemuan untuk membina kesepakatan.

"Beliau juga menawarkan Agenda Ekonomi Malaysia sebagai wacana tanding kepada kemelut ekonomi politik negara," kata beliau lagi.

Anwar, 70, kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.