TASEK GELUGOR: Ramai anak muda dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau akan diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu, calon muda akan digandingkan dengan muka lama dari komponen parti Perikatan Nasional (PN) yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

Pada masa sama, semua calon dari PN akan dipastikan mempunyai rekod bersih dan mampu memberi idea yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

"Saya rasa kita akan tawarkan ramai muka baharu dalam PN secara umumnya, tambah-tambah lagi dalam Bersatu.

"Kita ada ramai anak-anak muda, kita ada ramai golongan wanita, kita ada ramai juga muka-muka baharu yang 'fresh' dan tidak ada rekod sebarang salah laku yang boleh dijadikan kempen negatif terhadap mereka.

"Jadi, usaha kita ialah untuk memastikan ada keseimbangan. Kita adunkan yang muda dengan yang lama. Wanita, lelaki, anak muda, golongan belia akan ada," kata Wan Saiful.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang dirasmikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, secara umumnya PN sudah selesai mengadakan rundingan mengenai agihan kerusi yang akan ditandingi dalam PRU kelak, tetapi belum diputuskan di peringkat pusat.

Bersatu juga sedia berbincang dengan rakan komponen PN iaitu Pas dan Parti Gerakan Malaysia mengenai kerusi yang akan ditandingi termasuk Parlimen Tasek Gelugor yang secara umumnya milik parti tersebut.

"Saya mengalu-alukan cadangan daripada Pas untuk mereka bertanding di Tasek Gelugor. Di waktu yang sama, Tasek Gelugor ini adalah kerusi 'incumbent' Bersatu.

"Jadi, biasanya dari segi prinsip yang kita pegang, (kerusi) 'incumbent' kekal. Secara prinsip asasnya, kerusi Tasek Gelugor ini adalah kerusi Bersatu.

"Tetapi kalau Pas ada cadangan yang mungkin boleh menjadi hujah untuk menyatakan mereka lebih berpeluang, maka pihak PN akan mendengar pandangan tersebut," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, Majlis Tertinggi PN akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat mengenai bakal calon PRU yang akan mewakili PN.

Perbincangan turut mengambil kira logo yang akan digunakan PN dalam PRU kelak bagi memudahkan rakyat membuat pilihan.