Annuar dedah Zuraida sertai Muafakat Nasional

Sinar Harian
Disember 14, 2022 13:10 MYT
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi siaran di akaun Facebook rasmi miliknya pada Rabu. - Foto Facebook Annuar Musa
SHAH ALAM: Pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan telah menyertai Muafakat Nasional (MN).
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi siaran di akaun Facebook rasmi miliknya pada Rabu.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut mengadakan pertemuan di pejabatnya.
“Terima kasih Datuk Zuraida Kamaruddin kerana sudi bertandang ke pejabat saya.
“Terima kasih juga kerana menyertai MN,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum itu, MN merupakan parti kerjasama antara UMNO dan Pas, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan olehnya.
BACA: 'Muafakat Nasional terima lebih 10,000 ahli selepas beberapa jam dibuka' - Annuar
Pada Jumaat, UMNO mengesahkan Annuar dipecat dan digugurkan dari parti secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
- Artikel asal di Sinar Harian
#Zuraida Kamaruddin #Annuar Musa #Muafakat Nasional #Parti Bangsa Malaysia