SHAH ALAM: Permohonan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) sebagai ahli baharu mula dibuka sejak Sabtu.

Perkara itu dikongsikan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebooknya.

Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.

"Permohonan keahlian Muafakat Nasional dibuka lebih awal.

"Sepatutnya minggu hadapan. Namun atas permohonan ramai kita awalkan permohonan secara dalam talian," ujarnya.

Bekas Pegawai Khas Annuar, Fariz Hadi memaklumkan, permohonan sebagai ahli baharu MN mendapat sambutan memberangsangkan.

"Alhamdulillah tak sampai satu jam 1,000 permohonan telah diterima," ujar beliau.

Sebelum itu, MN merupakan parti kerjasama antara UMNO dan Pas, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada PRU14.

Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah pertubuhan bawah kerajaan (NGO) yang diasaskannya.

Katanya, MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Pada Jumaat, UMNO mengesahkan Annuar dipecat dan digugurkan dari parti secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Ini susulan kritikan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  -- Sinar Harian