Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi mengakui bahawa perhubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermasalah namun beliau sanggup mengenepikan isu itu dan merujuk kembali kerjasama mereka untuk agenda parti.

Menurut Dr Mahathir, kerjasama strategiknya dengan Anwar telah diperbaharui terutamanya untuk menjatuhkan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama dahulu.

“Saya mengaku menghadapi masalah dengan Anwar. Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Anwar telah tersingkir dari parti dan dikenakan hukuman penjara. Namun, saya berpendapat kita perlu lawan untuk menjatuhkan Najib,” katanya.

“Saya berpendapat antara Najib dan Anwar, saya anggap Najib lebih berbahaya,” tambahnya.

BACA: Walaupun bukan lagi PM, saya tetap ingin pulihkan nasib orang Melayu - Tun Mahathir

BACA: Tun Mahathir tidak peduli bagaimana dirinya akan dikenang

Namun, beliau berpendapat, sejurus selepas Anwar bebas dari hukuman penjaranya pada Mei 2018, beliau tidak lagi seperti yang dijangkakan oleh dirinya.

“Apabila dia keluar dari penjara, dia pergi merata tempat, tidak seperti pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain. Pemimpin lain dalam PH berada dalam parti dan tidak aktif,” katanya.


Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya persepsi peribadi beliau terhadap Presiden PKR itu dalam satu wawancara eksklusif bersama pengarang kanan Sinar Harian, baru-baru ini. Wawancara berkenaan disiarkan secara eksklusif di laman Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Dr Mahathir lagi, beliau mengibaratkan Anwar seperti ‘stormy weather’, “dia pi mana pun, dia bawa ribut.”

“Walau demikian, saya masih bersamanya (Anwar). Tapi, bila sampai ke tahap Majlis Tertinggi PH menolak saya, kerana itulah saya kalah,” tambahnya.