Sanusi tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar

Anwar dan Muhammad Sanusi bersetuju menamatkan pertikaian secara muktamad memandangkan terdapat isu-isu yang lebih besar dan penting yang memerlukan perhatian demi kepentingan negara.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertikaian berhubung kes saman fitnah yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Menurut satu kenyataan bersama hari ini, keputusan itu dicapai selepas mengambil kira kesan tindakan saman serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua belah pihak.
Anwar dan Muhammad Sanusi bersetuju menamatkan pertikaian tersebut secara muktamad memandangkan terdapat isu-isu yang lebih besar dan penting yang memerlukan perhatian demi kepentingan negara.
"Sehubungan dengan itu, Muhammad Sanusi dengan secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan-kenyataan yang telah dibuat olehnya pada 13 Nov 2022 terhadap Anwar."Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak.
"Selaras dengan itu, Anwar, yang menghargai usaha murni itu, bersetuju untuk menarik semula Guaman Sivil terhadap Muhammad Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
"Muhammad Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini," katanya dalam kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr Mohd Johan Lee atas usaha mediasi yang membawa kepada penyelesaian tersebut, serta pegawai-pegawai mahkamah yang menunjukkan profesionalisme sepanjang proses itu.
Mereka turut berharap agar penyelesaian ini dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan untuk menjejaskan kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian negara.
Pada 13 Dis 2022, Anwar menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah "Jelajah PN Best Tambun."
.
Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami