Meta tamatkan perkhidmatan 600 pekerjanya dalam unit AI

Melalui penstrukturan semula ini, Meta berharap dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses membuat keputusan bagi menjadikan pasukan AI lebih tangkas. - Reuters
WASHINGTON: Kira-kira 600 pekerja di bahagian kecerdasan buatan (AI) Meta Platforms bakal diberhentikan sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat proses membuat keputusan dan memperkemas operasi syarikat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang yang menyertai syarikat itu pada Jun lalu selepas pelaburan bernilai AS$14.3 bilion dalam Scale AI, mengumumkan langkah pemberhentian menerusi satu memo dalaman yang disahkan jurucakap Meta.
Makmal TBD yang baru ditubuhkan tidak terjejas, namun pemberhentian akan melibatkan kakitangan di seluruh bahagian infrastruktur AI, Penyelidikan Asas AI (Fundamental Artificial Intelligence Research) dan unit berfokuskan produk.
Pekerja di Amerika Syarikat dimaklumkan pada Rabu pagi bahawa tarikh penamatan perkhidmatan mereka ditetapkan pada 21 Nov.Selain bayaran pampasan selama 16 minggu, Meta turut menawarkan tambahan dua minggu gaji bagi setiap tahun tempoh perkhidmatan.
Pekerja yang terlibat digalakkan memohon jawatan lain dalam syarikat itu, menurut kenyataan Meta.
Menurut laporan, Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg dikatakan tidak berpuas hati dengan kemajuan perlahan pembangunan AI syarikat itu selepas tindak balas bercanggah terhadap model Llama 4.
Melalui penstrukturan semula ini, Meta berharap dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses membuat keputusan bagi menjadikan pasukan AI lebih tangkas, kata Wang.
Walaupun berdepan pemberhentian besar-besaran, Meta masih meneruskan pelaburan dalam bidang AI, termasuk perjanjian bernilai AS$27 bilion dengan Blue Owl Capital bagi membiayai pusat data Hyperion di Louisiana.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami