KOTA KINABALU: Pertukaran status Sabah daripada negeri ke wilayah sememangnya dinantikan oleh anak jati negeri itu.

Namun, persoalan timbul sama ada pertukaran status berkenaan akan membawa impak positif kepada negeri ini  seperti hak milik petroleum, hasil bumi dan sebagainya?

Perkara itu dibangkitkan Ketua Penerangan AMK PKR Sabah, Razeef Rakimin yang meminta Kerajaan Persekutuan ditadbir Perikatan Nasional (PN) agar bersikap telus dalam perkara tersebut.

"Sebagai anak Sabah, ini yang kita nantikan sejak dahulu.

"Namun kita juga ingin tahu, apakah keistimewaan di sebalik pertukaran status Sabah kepada wilayah ini?

"Adakah Sabah mendapat semula hak petroleum, hasil bumi, pelancongan dan sebagainya sebagai mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI, dalam satu kenyataan video di Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong sebelum ini mempersoalkan pengumuman perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dalam kunjungannya ke Sarawak baru-baru ini sekiranya ia tidak melibatkan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Razeef turut meminta perkara berkenaan tidak menjadi gimik politik kepada kerajaan sedia ada semata-mata mahu meraih perhatian rakyat Sabah dan Sarawak.

"Ataupun ia sekadar menukar nama, daripada negeri kepada wilayah sekadar untuk memancing orang Sabah dan Sarawak untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Isu status Sabah ini sangat-sangat sensitif... ia boleh menyatukan kita, boleh juga memecah belahkan kita," katanya.

Tujak sejak kelmarin pekeliling yang didakwa diterbitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia mengenai arahan menukar terma panggilan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah.