Armizan ‘pulangkan paku buah keras’ kepada Azis Jamman isu pindaan Akta LHDN

Armizan (kiri) berkata pindaan Akta LHDN adalah hasil komitmen Kerajaan Madani dan contoh pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang wajar dikongsikan.
KOTA KINABALU: Datuk Armizan Mohd Ali 'memulangkan paku buah keras' kepada bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berhubung pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995, yang disifatkan sebagai mengelirukan.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, pindaan akta yang dibuat pada 2023 itu adalah hasil komitmen Kerajaan Madani dan contoh pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang wajar dikongsikan.
Pindaan tersebut, jelas beliau bagi memastikan wakil dari Sabah dan Sarawak diberi tempat secara sah dalam struktur pengurusan tertinggi agensi percukaian negara itu.
"Cara beliau buat olahan agak mengelirukan bagi mereka yang baru pertama kali mendengar dan tidak mempunyai maklumat menyeluruh berhubung pindahan tersebut.
"Saya faham Parti Warisan (Warisan) pastinya tidak gembira kerana pindahan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Madani dan kejayaan GRS serta kemenangan rakyat Sabah.
"Jadi, biasalah mahu potong 'corner'.... carilah perkara yang boleh dipolemikkan. Itu auta Warisan, tetapi fakta adalah sebaliknya," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.
Mohd Aziz dalam video sebelum ini, antaranya mendakwa Menteri Kewangan berkuasa sepenuhnya melantik wakil Sabah dan Sarawak, sekali gus tidak perlu berunding dengan Ketua Menteri Sabah atau Premier Sarawak.
Selain itu, beliau menambah menteri didakwa boleh memecat wakil negeri pada bila-bula masa tanpa sebab.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan, sebelum pindaan dibuat, Akta LHDN 1995 tidak memperuntukkan keanggotaan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga pengarahnya.
Bagaimanapn, ujarnya perkara itu hanya mula diberi perhatian setelah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diaktifkan semula di bawah Kerajaan Persekutuan selepas 2020.
Beliau berkata, isu pelantikan perwakilan Sabah dan Sarawak sebagai anggota lembaga LHDN dibawa ke mesyuarat Majlis Khas MA63 hasil perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui GRS, dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Armizan menambah, walaupun percukaian merupakan bidang kuasa persekutuan, kehadiran wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN membolehkan kedua-dua wilayah itu terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dasar percukaian yang memberi kesan kepada negeri masing-masing.
Beliau memaklumkan, pelantikan pertama wakil Sabah ke dalam lembaga LHDN dibuat pada 1 September 2022, apabila Datuk Petrus Gimbad dilantik berdasarkan pencalonan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Armizan turut menegaskan bahawa langkah tersebut tidak pernah menjadi agenda kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Warisan, dan hanya diangkat semula selepas pembentukan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Soalan saya, kalau benar Warisan penyelamat Sabah, mengapa agenda ini tidak dimasukkan dalam tempoh mereka berkuasa sedangkan jelas terkandung dalam laporan Inter-Governmental Committee (IGC)," ujarnya lagi.
Beliau berkata, selepas mesyuarat khas kabinet pertama kerajaan Madani, Perdana Menteri mengarahkan penyediaan laporan status isu-isu berkaitan MA63.
Susulan itu, Armizan membentangkan nota Jemaah Menteri pada 21 Disember 2022, diikuti memorandum pertimbangan pada 4 Januari 2023, yang antara lain meluluskan cadangan pindaan Akta LHDN bagi menginstitusikan keanggotaan tetap wakil Sabah dan Sarawak.
"Maknanya, selepas 60 tahun pembentukan Malaysia, akhirnya perwakilan Sabah dan Sarawak dalam LHDN akan dimaktubkan dalam undang-undang Parlimen. Ini bukti komitmen Kerajaan Madani memperkasa hak wilayah," ujarnya lagi.
Susulan itu, Armizan turut membangkitkan persoalan, sebagai 'penyelamat Sabah' mengapakah Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menggunakan Artikel 2 itu untuk menghalang penetapan had sempadan maritim Sabah hanya kepada tiga batu nautika, sebagaimana dimaktubkan dalam Akta Laut Wilayah yang digubal pada tahun 2012 semasa menjawat Menteri Kanan Persekutuan dan Ahli Parlimen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


