KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali sedia berdebat dengan mana-mana pemimpin daripada Parti Warisan (Warisan) termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Azis Jamman.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, debat berkaitan isu Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus menerusi platfom secara bersemuka bagi memastikan ia berlangsung dengan adil dan memberi ruang kepada kedua pihak untuk mengemukakan hujah masing-masing.

"Yang (platform) boleh memastikan debat itu berlangsung dalam suasana dengan adil, memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujah masing-masing dalam suasana yang harmoni.

"Malah cadangan debat itu datang daripada saya sebagai alternatif kepada cadangan mereka daripada masing-masing mengadakan 'live'. Saya tiada masalah sebab saya yang cadangkan sebagai saranan mereka yang juga bersifat cabaran supaya kita buat 'live'.

"Jadi kalau dia cakap ini, saya boleh jawab terus, jadi orang boleh tengok dan orang dapat nilai apa fakta sebenar dan paling penting dia mahu kekalkan bukti-bukti dan dokumen yang ada supaya orang dapat perspektif yang benar," katanya ketika ditemui pemberita Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pelawaan Azis mengadakan debat secara bersemuka dan menjadikan Sinar Harian sebagai moderator.

Tambah beliau lagi, ia bukan mengenai siapa yang akan menang atau kalah dalam perdebatan itu sebaliknya untuk memberi fakta yang sebenar kepada rakyat Sabah mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam JKK MA63.

"Saya sebut mana-mana pemimpin Warisan. Ini bukan mengenai menang atau kalah dalam berdebat tetapi ini persoalan untuk memberikan fakta yang sebenar kepada rakyat Sabah untuk mengetahui kedudukan yang sebenar supaya rakyat Sabah mempunyai kefahaman bersandarkan fakta yang jelas, yang tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

"Sebab kita mahu memperjuangkan hak dan kepentingannya, kita perlu berdiri atas landasan yang tepat, atas fakta yang tepat. Bagaimana kita berhujah dengan orang, kalau kita punya landasan, kita punya suara itu tidak bersandarkan kepada fakta dan perundangan yang jelas. Bagaimana orang mahu memenuhi kita punya tuntutan itu yang penting," tegasnya.

Mengulas mengenai permintaan Azis bahawa beberapa dokumen perlu diklasifikasi, beliau menegaskan bahawa kerajaan mempunyai alasan untuk kategorikan ia sebagai dokumen sulit dan rahsia.

"Cuma isunya sekarang ada perkara-perkara yang disebut cuba mengelirukan yang menyentuh kepada dokumen berkenaan. Itu sebab saya cadangkan ada dokumen yang dinyahklasifikasikan, diturunkan taraf, bagi saya terpulang dan bagi tentukan perlu atau tidak turun taraf ini ialah kerajaan, agensi berkenaan.

"Paling penting bagi saya semua kena bertanggungjawab tentang apa kita perjuangkan sebab bagi saya menjadi urus setia, pegang amanah rakyat Sabah berkait dengan usaha kita supaya lebih banyak perkara berbangkit dalam MA63 dilaksanakan dan perjuangan itu bukan perjuangan saya seorang, perjuangan ini adalah perjuangan yang kita warisi berpuluh tahun pimpinan Sabah dan rakyat Sabah telah sebut tentang perkara ni

"Kalau ada kejayaan pun pada hari ini, bukan kejayaan saya seorang, bukan perjuangan parti saya seorang, ini perjuangan dari dulu," katanya.

Sebelum itu, Azis mempelawa Armizan berdebat secara bersemuka menerusi platfom Sinar Harian mengenai isu yang dibangkitkan dalam tuntutan Sabah menerusi MA63.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu mahu beberapa dokumen berkaitan Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) MA63 diklasifikasikan terlebih dahulu untuk diedarkan kepada umum. - Sinar Harian