Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dicabar untuk mengadakan perhimpunan Bersih akan datang di negeri di bawah pentadbirannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata Guan Eng bersikap mementingkan diri sendiri apabila enggan menganjurkan perhimpunan seperti yang diadakan di Kuala Lumpur hujung bulan lalu di negeri yang ditadbirnya itu.

"Kenapa tidak adakan di Pulau Pinang di tengah-tengah bandar George Town ataupun Selangor? Kenapa perlu adakan di Kuala Lumpur?" katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Ekspo Filem Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

"Adakah sebab mereka takut pelancong-pelancong di Pulau Pinang akan terkesan dengan perhimpunan Bersih di sana? Bagaimana pula dengan pelancong-pelancong di Kuala Lumpur?

"Saya rasa perkara ini sangat tidak adil. Saya cabar Guan Eng adakan bersih di Pulau Pinang," tegasnya.

Beliau juga meluahkan rasa pelik mengapa perhimpunan terbabit tidak diadakan di dalam stadium, sebaliknya diadakan di jalanan.

"Kenapa mereka tidak adakan perhimpunan di stadium? Mereka boleh gunakan mikrofon dan berucap. Mereka boleh menjejaskan peniaga-peniaga berdekatan. Ini tidak adil.

"Mereka nak suarakan hak mereka sebagai golongan minoriti, bagaimana pula dengan hak bersuara golongan majoriti? Ini tidak adil bagi golongan majoriti yang terpaksa berhadapan dengan kekacauan dan ketakutan dengan adakan perhimpunan sebegitu," katanya.

Pada masa sama, Azalina yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengerang melahirkan rasa dukacita dengan kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun padang dalam perhimpunan Bersih 4 lalu.

"Tindakan Tun M itu bukan mengecewakan tetapi mendukacitakan," katanya.

Sementara itu, Azalina memuji bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak bersama-sama turun padang pada perhimpunan Bersih pada 29 Ogos lepas.