KUALA LUMPUR: Langkah mendedahkan butiran Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang disepakati kerajaan Perikatan Nasional dengan blok Pakatan Harapan, untuk makluman dan kefahaman rakyat seluruhnya, disifatkan sesuatu yang wajar.

Namun, kata Rahezzal Shah Abdul Karim, bab kebebasan kehakiman yang digariskan dalam memorandum (MoU) itu tidak dijelaskan dengan lanjut butiran pengkhususannya.

Menurut Felo Penyelidik Society for Empowerment & Economic Development of Sabah (SEEDS) itu, hal berhubung kebebasan kehakiman itu sepatutnya lebih spesifik atau terus menumpu kepada maksud atau matlamat tertentu.

“Andaian saya, dan pastinya masyarakat, bahawa benda-benda ini adalah amat penting dan ia dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Cuma apabila kita tengok bab kebebasan kehakiman, kenyataan itu terlalu umum dan saya sebenarnya agak hairan.

“Walaupun saya sedar banyak ruang untuk reformasi bagi setiap cabang kerajaan, cuma saya tak nampak sebenarnya apa yang ingin dicapai, skop apa yang mahu dilihat, dalam kebebasan kehakiman itu," katanya.

Beliau juga faham, apabila sesuatu MoU dikemukakan dalam masa yang singkat, perlu banyak rundingan untuk mencari titik pertemuan segera supaya tindakan dan perancangan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ketika krisis negara semakin meruncing.

Namun, apabila ada kenyataan yang tidak jelas sebegini, ia akan menimbulkan kekaburan, kekeliruan, malah tanggapan yang pelbagai dalam masyarakat yang menilainya, kata Rahezzal Shah.

“Kalau ia dikatakan mungkin merangkumi hal Ketua Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kenapa tidak terus sahaja ditulis dengan spesifik?

“Jadi, itu yang menimbulkan tanggapan, ini mungkin satu tindakan politik berkaitan dengan kluster mahkamah dan seumpamanya.

“Ramai yang saya nampak perlahan-lahan apabila melihat kepada MoU itu, secara khususnya kepada item nombor empat itu, mereka timbul 1,001 pertanyaan.”

Rahezzal Shah menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tontonnya di sini:

Kebebasan kehakiman dalam MoU perlu lebih spesifik

Agenda AWANI: MoU Kerajaan - Pembangkang: Segerakan perubahan